Monday, May 31, 2010

Hukum Perniagaan Internet

Dipetik dari Blog: Laman Ilmudanulamak


Soalan:

Ustaz, soalan saya adalah: apakah hukumnya menjalankan perniagaan internet dan menerima upah dari perniagaan itu seperti menjual e-book yang sedang hangat diperkatakan sekarang?

Jawapan:

1. Secara umum semua urusan perniagaan atau jual beli wajib memenuhi syarat-syarat jual-beli yang ditetapkan Syarak (al-Quran dan as-Sunnah) dan bebas dari unsur-unsur yang diharamkan oleh Syarak (seperti gharar, riba, penipuan, menjual barangan/produk haram dan sebagainya).

2. Khusus kepada jual-beli melalui internet, ia membabitkan jual-beli barang/produk yang tidak nampak semasa akad iaitu yang dinamakan denganbai’ al-ghaib. Menurut ulamak; keharusannya terikat dengan dua syarat;

a) Dinyatakan dengan jelas barang/produk yang hendak dijual, ciri-cirinya, harganya, cara penghantarannya dan sebagainya kepada pembeli.

b) Diberi hak khiyar kepada pembeli apabila menerima barang, iaitu hak untuk membatalkan jual-beli dan mengambil kembali wangnya jika barang yang sampai tidak sama seperti yang diiklankan.

3. Komisyen dari hasil jualan atau dengan menjadi orang tengah -antara penjual dan pembeli- adalah harus dan halal jika produk yang dijual adalah halal dan bermanfaat dan urus-niaga yang dijalankan juga halal. Khusus bagi yang terlibat menjadi orang tengah, ada tiga syarat yang perlu diberi perhatian;

a) Hendaklah ia memberi syor (kepada penjual atau pembeli) berdasarkan pengalaman, pengetahuan atau kajiannya, bukan hanya memandai-mandai atau mereka-reka (yakni berlagak pandai) hingga merugikan penjual/pembeli yang berurusan dengannya.

b) Hendaklah ia jujur dan amanah; tidak menipu penjual atau pembeli yang menaruh kepercayaan kepadanya. Ia hendaklah memberi maklumat tentang barangan/produk yang dijual dengan benar, tanpa menipu dan tanpa melebih-lebih.

c) Ia tidak menjadi orang tengah dalam perkara/benda yang tidak halal dijual, dimiliki dan dimanfaatkan mengikut hukum Syarak. Wallahu a’lam.



Rujukan;

1. al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi, kitab al-Buyu’.

2. al-Baina as-Sail Wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 22.

1 comment:

  1. assalamualaikum tenang bin damai..
    baru jelas penagatahuan saya mengenai hukum
    perniagaan dlm internet ini..
    byk kn lg mncari sumber pengetahuan yang lain..saya support anda..

    ReplyDelete